TEATER MUZIKAL SELENDANG SAKTI

Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya  (HEPA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur telah mementaskan muzikal kanak-kanak berjudul Selendang Sakti pada 1 hingga 4 Julai 2010, 8.30 malam bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Persembahan ini yang di persembahkan oleh Alumni daripada Bahagian Drama, Tari, dan Muzik Pusat Kebudayaan UM merupakan persembahan amal untuk pembinaan perpustakaan anak-anak yatim sekitar Kuala Lumpur.

Sinopsis Teater Muzikal Selendang Sakti mengisahkan seorang raja yang tidak suka memerintah.  Baginda lebih suka memasak.  Impiannya adalah untuk membuka kedai roti pada satu hari nanti.  Permaisurinya  telah lama meninggal dunia dan baginda membesarkan puterinya seorang diri.  Baginda runsing kerana tidak mempunyai putera untuk menggantikannya kelak.  Satu hari pada hari jadi puteri yang ke-13, datang seorang Maharani jahat dengan selendang saktinya yang boleh membuat sesiapa saja yang memakainya menurut kemahuan Maharani.  Maharani dan konconya merancang untuk merampas takhta kerajaan itu.

Para pelakon dalam persembahan ini merupakan graduan Pusat Kebudayaan Universiti Malaya. Persembahan ini telah menjuarai Festival Teater Antara Universiti (MAKUM) 2005 dan dipentaskan sebagai Teater Keliling tajaan JKKN.  Tetapi ia tidak pernah dipentaskan untuk persembahan awam di Kuala Lumpur.

Sultanah Johor Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris telah berkenan menghadiri pementasan ini pada  3 Julai 2010 sekali gus menjadikan malam berkenaan sebagai Malam Penaung. Pengarah persembahan (Roselina Khir Johari) merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya dan telah menulis serta mengarahkan banyak persembahan teater dan juga muzikal. Pengarah Muzik (Casey Koh) juga merupakan graduan Pusat Kebudayaan dan kini sedang melanjutkan pengajian Kedoktoran dalam bidang muzik.

Anugerah-anugerah yang pernah dimenangi ialah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Harapan 1, Pelakon Harapan 2, Busana & Tatarias Terbaik, Penataan Set Terbaik, Penataan Lampu Terbaik, Muzik & Efek Terbaik, Skrip/ Adaptasi Terbaik, Arahan Terbaik dan Persembahan Terbaik (Juara).

About admin