MENGGALI DIMENSI BAHARU DALAM PEMIKIRAN MUHAMMAD HAJI SALLEH

Oleh: Faezah Muhayat

 Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh yang diadakan pada 9 hingga 10 November 2010 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur baru-baru ini dilihat telah berjaya menghimpunkan sebahagian besar tokoh ilmuwan sastera, ahli akademik, penggiat sastera dan peminat sastera untuk sama-sama menelusuri pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam penghasilan puisi,  kritikan dan teori Nusantara. Malah, bidang kajian Muhammad Haji Salleh yang luas mencakupi Sastera Nusantara, Sastera Asia Tenggara, Sastera Inggeris dan Sastera Eropah, membayangkan minat dan keintelektualannya yang cukup istimewa.

Antara peserta seminar yang hadir

Fokus penganjuran seminar ini adalah untuk menggali pemikiran kreatif dan proses kreatif Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh sewaktu beliau menghasilkan karya-karya besar di samping mencari dimensi baharu dalam pemikiran Sasterawan Muhammad Haji Salleh untuk dimanfaatkan dalam penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan pada masa kini dan akan datang. Siri seminar tahunan anjuran Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera (dahulunya Bahagian Teori dan Kritikan Sastera), Dewan Bahasa dan Pustaka ini juga merupakan salah satu usaha DBP untuk melestarikan misi memperkasa karyawan dan ilmuwan sastera, memperluas khalayak sastera dan meningkatkan kuantiti serta kualiti sastera demi memartabatkan sastera kebangsaan.

Seminar dua hari yang mengetengahkan 17 orang pembentang kertas kerja termasuk penyampaian ucap utama oleh Prof. Dato’ Dr. Md. Salleh Yaapar dan beberapa tokoh pembentang seperti Prof. Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana), Dr. Wong Soak Koon, Prof. Dr. Ding Choo Ming, Prof. Madya Dr. Arbaie Sujud, Prof. Madya Arbak Othman, Encik Shamsuddin Othman dan Dr. Norhayati Abdul Rahman telah berjaya membongkar dimensi baharu pemikiran Muhammad Haji Salleh dalam dunia penulisan kreatif dan esei kritikan. Muhammad Haji Salleh yang cukup prolifik dari segi pengalaman menulis puisi dan kekuatan daya inteleknya dalam mengetengahkan idea atau pernyataan turut berkongsi pengalaman hidupnya dalam sesi perkongsian minda pada hari kedua seminar. Menurut beliau, seorang penyair ialah seorang seniman yang mencipta karya dan secara langsung atau tidak langsung membincangkan kehidupan. Temanya diambil dan diolah daripada hidup seharian, tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya. Beliau turut menegaskan bahawa pujangga yang baik selalu cuba menilai, merenung dan mencari jawapan untuk masalah masyarakatnya. Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman hidupnya yang luas sebagai perantau dan pengembara bersama para peserta seminar.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz yang membicarakan permasalahan alam sekitar dari lensa bahasa Muhammad Haji Salleh telah membincangkan permasalahan alam sekitar dengan membandingkan sajak yang dihasilkan oleh Muhammad Haji Salleh dan sajak Usman Awang dengan menggunakan kaedah kritikan eko. Pengkritik sastera yang terkenal dengan Teori Rasa Fenomenologi dan Teori Kritikan Fitrah ini turut menyentuh aspek kajian hijau dalam konteks kesusasteraan yang memfokus kepada penelitian hubungan antara budaya iaitu manusia dengan persekitarannya.

Sesungguhnya penyair dan alam sekitar mempunyai pertautan yang utuh dan tidak dapat dipisahkan. Berpunca daripada alam semesta ciptaan Tuhan, tercetuslah rangkuman ilham, cetusan rasa hati dan luahan perasaan yang membentuk pemikiran seseorang penyair terhadap apa yang difikirkannya untuk dikongsi bersama khalayak. Begitu juga dengan Muhammad Haji Salleh. Jiwanya amat sebati dan rapat dengan alam semesta. Puisi beliau banyak menyentuh tentang kepentingan memelihara alam semesta termasuklah Antologi Puisi Sebutir Zamrud di Deru Selat yang menghimpunkan 79 buah sajak yang dibina mengikut bulan. Isu Alam sekitar ini turut dikupas oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, rakan seperjuangan Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM. Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man yang telah mengenali Muhammad Haji Salleh selama lebih 26 tahun telah mengupas dengan mendalam Antologi Puisi Sebutir Zamrud di Deru Selat. Antara puisi Muhammad Haji Salleh yang membicarakan tentang unsur alam termasuklah “semarak api”, “gerimis tahun”, “pucuk kecil berlipat malu”, berguru pada pohon”, “sehelai daun tua”, sebiji benih ditanam” dan “tualang”.

Sementara itu, pemenang Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) tahun 2004, Dr. Zurinah Hassan menyifatkan bahawa sajak-sajak Muhammad Haji Salleh adalah sebahagian daripada hasil sastera Melayu yang terbina daripada kemesraannya terhadap alam dan memaparkan identiti sastera Melayu yang perlu dijadikan rujukan oleh generasi akan datang. Beliau turut menambah bahawa sumbangan Muhammad Haji Salleh dalam memperkaya puisi Melayu dan tradisi kemelayuan ternyata cukup besar walaupun beliau telah jauh mengembara dan bergelumang dengan karya-karya asing.

Pemikiran Muhammad Haji Salleh yang mencetuskan Teori Puitika Sastera Melayu turut dikupas dengan mendalam oleh Hazami Jahari, Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka yang sedang melanjutkan pengajiannya pada peringkat Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia. Beliau mengupas pemikiran Puitika Sastera Melayu Muhammad Haji Salleh dengan melihat wajah Melayu dari cerminan peradaban sendiri. Menurut beliau, setelah mengharungi perjalanan sastera yang panjang, mengembara dan mendewasakan diri dengan sastera Inggeris di Amerika Syarikat dan Eropah, Muhammad Haji Salleh akhirnya kembali ke akar sastera bangsanya sendiri. Tambahnya lagi, sebagai seorang pengkaji, pengajar dan sekaligus penyair, Muhammad Haji Salleh mula bertanya tentang sastera bangsanya sendiri yang dirasakan juga tidak kurang hebatnya berbanding dengan sastera tamadun yang lain. Justeru, pertanyaan dan runtunan untuk kembali serta mencari jejak akar sastera sendiri itu akhirnya menemukan Muhammad Haji Salleh pada estetika sastera Melayu yang terbenam dalam karya-karya agung tradisional, puisi dan hikayat yang sebahagiannya tersimpan di perpustakaan milik bekas penjajah termasuk di England dan Belanda.

Antara pembentang kertas kerja. Dari kiri, Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, Encik Jaafar Hamdan (Pengerusi Sesi), Dr. Zurinah Hassan dan Encik Mohamed Ghozali Abdul Rashid (Malim Ghozali PK).

Selain kajian dan pembentangan yang membicarakan tentang aspek alam sekitar dan teori Puitika Sastera Melayu, kajian daripada aspek yang berlainan berlandaskan karya-karya Muhammad Haji Salleh turut diperkatakan oleh para pemakalah yang lain. Misalnya Dr. Norhayati Abdul  Rahman dan Dr. Wong Soak Koon yang melihat Sajak-sajak Pendatang dari perspektif identiti, Prof. Madya Dr. Arbaie Sujud dan Prof. Madya Arbak Othman yang melihat dari aspek bahasa dan semiotik, dan Malim Ghozali PK dan Ariff Mohamad yang melihat dari aspek pencarian kendiri dan simbiosis jati diri.

Seminar yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh sasterawan tersohor antaranya Dato’ Baha Zain, Dato’ Kemala, SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan SN Dato’ Dr. Anwar Rethwan.

About admin