MAJLIS BERSAMA JABATAN WUJUDKAN HUBUNGAN KOMUNIKASI DUA HALA

Oleh : Rossilawaty bt Haji Sheriff (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia)

Merujuk kepada Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, semua agensi Kerajaan yang mengendalikan secara langsung urusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal kewangan dan mempunyai kuasa untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara tersebut adalah dikehendaki menubuhkan Majlis Bersama Jabatan (MBJ).

 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak terkecuali dalam hal ini. Bagi tujuan penubuhan MBJ, satu draf perlembagaan yang telah dipersetujui oleh pihak Pengurusan dan pihak pekerja perlu digubal terlebih dahulu sebagai garis panduan ataupun undang-undang kecil dan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam  (JPA) untuk kelulusan pemakaian. Sehubungan itu, MBJ DBP telah mengadakan mesyuarat yang pertama pada 13 Disember 2010 yang lalu dipengerusikan oleh Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah DBP bertempat di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Menara DBP dan membuat penggubalan dan pindaan perlembagaan Majlis sebelum dikemukakan kepada JPA untuk kelulusan.

 Tujuan utama MBJ diwujudkan adalah sebagai satu saluran untuk berkomunikasi secara dua hala antara pihak pekerja dengan pihak pengurusan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja, menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan DBP.

Keahlian MBJ adalah seramai 36 orang. Mereka terdiri daripada pegawai-pegawai  DBP,  seramai  lapan (8) orang ahli yang dilantik oleh Ketua Pengarah dan sebanyak 28 orang ahli dilantik oleh para pekerja. Pemilihan ahli dalam kalangan pekerja dibuat melalui proses pengundian mengikut gred dan skim pekerja-pekerja DBP pada 18 Oktober 2010 yang lalu. Daripada keseluruhan pekerja yang terpilih menganggotai MBJ ini,  Encik Izan bin Alham yang mewakili Kumpulan Akauntan dan Penolong Akauntan Gred 44, W41, W32 dan W27 telah dipilih sebagai Pengerusi bagi pihak pekerja merangkap Timbalan Pengerusi MBJ.  Manakala Encik Nasaruddin bin Nasir wakil Kumpulan Penolong Pegawai Tadbir dan Penolong Pegawai Penerbitan Gred N36, N32 dan N27 dilantik sebagai Setiausaha Bersama. Semoga kesemua mereka yang dilantik akan menunjukkan sifat proaktif dan terbuka semasa memainkan peranan sebagai ahli MBJ.

 Mesyuarat MBJ dijadualkan diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali iaitu empat kali setahun. Segala keputusan MBJ akan dicapai secara persetujuan antara kedua-dua pihak. Sebarang keputusan yang diambil jika tidak ada hubungan dengan Jabatan-jabatan lain dan tidak bertentangan dengan dasar Kerajaan dan/atau dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Pengelola bolehlah diselenggarakan atau dilaksanakan terus oleh DBP. Bagi keputusan yang ada kaitan dengan dasar Kerajaan ataupun Jabatan-jabatan lain ia hendaklah dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam ataupun kepada Jabatan-jabatan yang berkenaan.

 MBJ tidak akan berfungsi dengan lancar jika hubungan antara pihak pengurusan dan pekerja renggang. Penglibatan dan sokongan pihak pekerja dalam menjayakan MBJ adalah penting. Semoga MBJ akan menjadi landasan mengharmonikan suasana persekitaran kerja yang lebih baik demi mencapai visi dan misi organisasi.

 

 

About admin