BENGKEL LANJUTAN PENYUNTINGAN TESIS KEPADA BUKU

Oleh : Raja Shaiful Azizul Azuan  

 Apabila menyebut tesis, ramai berpandangan tesis adalah suatu bahan yang dianggap berat dan akademik. Tesis ditulis dan digagas berdasarkan disiplin akademik yang cukup tinggi. Para sarjana menulisnya khusus bagi memperoleh pengiktirafan kepada kesarjanaan mereka. Selalunya tesis ditulis mengikut kehendak para penilai. Persepsi sebegini menyebabkan kebanyakan tesis terhasil hanya menghiasi rak buku sarjana yang menulis dan rak di perpustakaan universiti. Apabila begitu hasil penyelidikan bertahun-tahun itu hanya sia-sia dan tidak dapat memanfaatkan masyarakat sekitarnya. Sehubungan dengan itu, sebagai langkah susulan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan telah mengambil inisiatif mengadakan satu Bengkel Lanjutan Penyuntingan Tesis Kepada Buku untuk ahli akademik yang berminat menukar tesis. Seramai 10 orang peserta terdiri daripada kalanagan para sarjana dari pelbagai Institut Pendidikan Tinggi di Negeri Johor menghadiri bengkel ini. 

Sebelum ini, satu Bengkel Penyuntingan Tesis Kepada Buku telah diadakan dan hasil daripada penilaian terhadap beberapa manuskrip yang telah dihantar di akhir bengkel tersebut, sebanyak 10 manuskrip terbaik dipilih dan dibawa untuk diperkemaskan melalui bengkel ini. Selain itu, antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan impak baru kepada dunia penulisan buku akademik, membuka minda dan rasa bagi memastikan bahan-bahan penyelidikan berkualiti dapat dimanfaatkan kepada orang awam. Bengkel selama ini tiga hari ini juga diharap dapat memperbanyak penerbitan ilmiah dalam pelbagai disiplin. 

Antara peserta yang hadir mengikuti bengkel penyuntingan tesis

 

Dua orang penceramah telah dijemputi untuk menjayakan dan menangani beberapa siri bengkel, iaitu Prof. Madya Dr. Hamedi Mohd. Adnan, Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Selain itu, seorang peguam terkenal, Encik Mohd Zamri Mohd Idrus turut memberikan ceramah berkaitan Hak Cipta Dalam Penerbitan. 

Bengkel yang berlangsung pada 1 hingga 3 Disember 2010 dan diadakan di Hotel Desaru Golden Beach, Kota Tinggi ini telah berjaya menghimpunkan sejumlah naskah manuskrip berbentuk tesis yang dimurnikan menjadi satu manuskrip yang tidak lagi ‘berbau’ tesis dan mudah difahami oleh semua golongan pembaca, sekaligus memenuhi kehendak pasaran yang lebih luas. Judul-judul manuskrip seperti Gaya Bercinta dan Salah Laku Seksual, Kesediaan Membaca dalam Kalangan Kanak-Kanak, Sejarah Bangsa Melayu: Fahaman Penjajah Barat; dan Jati Diri Bangsa Melayu dalam Menelusuri ‘Hikayat Hang Tuah’ yang sebelum ini berbentuk tesis telah berjaya diperbetul dan lebih berbentuk umum. 

Antara isu yang dibentangkan oleh penceramah adalah Editorial Dalam Penerbitan, Suntingan Naskah, Penyediaan Bahan Akhiran, dan Kemas Kini Manuskrip. Tidak lupa, Isu Hak Cipta Dalam Penerbitan Buku yang turut mengupas komplikasi undang-undang terhadap penulis, pencetak dan penerbit telah dibentang secara umum. 

Diakhir program, telah berlangsung sesi penyerahan manuskrip yang telah tuntas kepada penganjur untuk diterbitkan sebagai buku bacaan umum. Kesimpulannya, setelah kesemua peserta dibimbing untuk mengubah suai tesis ke dalam bentuk buku, para sarjana ini turut mendapat pemahaman tambahan tentang proses penerbitan, sekaligus lebih proaktif dalam aktiviti kesarjanaan dan aspek penerbitan serta yang lebih menariknya, peserta juga dapat menjalin hubungan yang lebih rapat dengan penerbit.

About admin