1 Malaysia: Rupa dan Jiwa Bahasa dan Sastera di Sarawak

Oleh Norazlinda Misran

 

Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum 2010 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada 10 Disember yang lalu telah menghimpunkan para penulis, peminat bahasa, pengguna bahasa Melayu, budayawan, sasterawan, dan badan-badan bukan kerajaan dari seluruh Sarawak untuk turut menyertainya.

            Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi ruang kepada para peserta berkongsi idea terutamanya dalam usaha mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum dan etnik melalui bahasa dan sastera kebangsaan.

            Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan dalam program sehari itu. Antaranya ‘Bahasa dan sastera Sukuan sebagai Sumbangan Peningkatan Penyatuan Masyarakat Pelbagai Kaum’ oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar, ‘Pemugaran dan Pelestarian Budaya Etnik dalam Memaknakan Gagasan 1malaysia’ oleh Dr. Jeniri Amir, dan yang terakhir oleh Dr. Ramzah Dambul dengan tajuk ‘Memartabatkan bahasa dan Sastera Kebangsaan dalam Upaya Mempertingkat Ketahanan Budaya Se-Malaysia’.

            Ucap Utama kolokium ini telah disampaikan oleh YBhg. Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, dengan tajuk ‘Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Ilmu’. Selain itu, kolokium ini turut mengadakan sesi diskusi/randau karyawan dengan tajuk ‘Keanekaragaman Sosiobudaya sebagai Sumber Karya’. Ahli panel untuk sesi ini ialah Jong Chian Lai, Abdillah SM dan Poul Nanggang.

            Kolokium yang bertemakan “1 Malaysia: Rupa dan Jiwa Bahasa dan Sastera di Sarawak” adalah bersesuaian dengan gagasan 1 Malaysia yang menggalakkan wacana intelektual yang berfokus ke arah penyatuan pelbagai kaum di negara ini melalui saling kefahaman budaya.

Pelancaran lapan buah buku telah disempurnakan oleh YB Dr. Abdul Rahman bin Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri N4 Pantai Damai

Selain itu, pelancaran lapan buah buku baharu terbitan DBP Cawangan Sarawak hasil karya penulis pelbagai kaum Sarawak turut dilancarkan dan telah  disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman bin Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri N4 Pantai Damai. Turut hadir dalam Kolokium tersebut ialah YBhg. Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah DBP.

           

 

About admin