KAMUS MELAYU DAN KAMUS MELAYU NIU

Oleh: Mohd Hadi bin Roslan

Bahagian Leksikologi dan Peristilahan

Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan sastera buat julung kalinya telah menganjurkan ceramah perkamusan pada 14 Januari 2010, di Dewan Seminar, Tingkat 2, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Ceramah yang bertajuk “Perkamusan, Kamus Melayu dan Kamus Melayu NIU ini telah disampaikan oleh Prof. Dr. James Thomas T. Collins, Director of Centre for  Southeast Asian Studies, Northern Illnois University (NIU) dan dipengerusikan oleh Dr. Fadilah binti Jasmani, Pegawai Perancang Bahasa Kanan Bahagian Perkamusan.

            Menurut Prof. Dr. James Thomas T. Collins penyusunan kamus merupakan usaha yang amat penting kerana kamus menjadi sumber rujukan utama untuk seseorang individu mempelajari sesuatu bahasa. Malahan dari segi sejarah kamus telah digunakan oleh  para pelayar yang terdiri daripada para pedagang untuk bertutur dengan masyarakat tempatan bagi menjalankan aktiviti perdagangan. Justeru itu mulai Ogos 2009, Center for Southeast Asian Studies, Northern Illnois University telah mengusahakan penyusunan Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris yang dinamakan “The Multimedia Online Learner’s Dictionary of Malay”. Penyusunan kamus ini bertujuan untuk menyediakan sumber rujukan kepada warga Amerika yang hendak mempelajari bahasa Melayu.

            Katanya “walaupun terdapat kamus Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris yang lain di pasaran tetapi agak sukar untuk individu yang bukan penutur asli bahasa Melayu mempelajari dan memahami bahasa Melayu dari kaca mata orang Melayu”.  Sehubungan dengan itu “The Multimedia Online Learner’s Dictionary of Malay” dihasilkan dari sudut pemikiran orang Amerika supaya kamus ini mudah digunakan dan mudah difahami oleh orang Amerika. Walaupun begitu, intuisi asli penutur bahasa Melayu masih diambil kira, pihak NIU turut melibatkan penutur asli bahasa Melayu dalam penyusunan kamus ini”. Kamus yang sedang dalam peringkat penyusunan dan dijangka selesai pada tahun 2013 ini akan dilengkapi dengan fitur multimedia seperti kemudahan audio dan visual bagi membolehkan pengguna mendengar kata dan ayat yang dipaparkan pada skrin”.

            Selain itu, penceramah turut menghuraikan tentang sejarah dan perkembangan perkamusan kepada khalayak yang terdiri daripada pegawai perancang bahasa dan penolong pegawai perancang bahasa Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera. Menurutnya pengumpulan data kamus berlaku kerana wujudnya aktiviti pelayaran. Melalui aktiviti pelayaran, para pelayar terdedah kepada dunia baharu yang mendorong usaha pengumpulan data kamus bagi tujuan perkongsian ilmu dan komunikasi. Disamping itu, tradisi penyusunan kamus mempunyai perkaitan secara langsung dengan perkembangan global seperti aktiviti perdagangan, penyebaran agama dan penjajahan. Misalnya, Kamus Wilkinson telah dicetak semula di Tokyo dan dijadikan sebagai bahan rujukan oleh mata-mata jepun untuk bertutur dengan orang Melayu bagi mendapatkan maklumat berkaitan geografi tanah Melayu dan budaya masyarakat Melayu. Dalam pada itu penceramah turut menegaskan leksikologi Melayu perlu diletakkan di tempat yang betul agar martabat bahasa Melayu dijulang tinggi.

About admin