ZIARAH PENGURUSAN KE KEDIAMAN SN ABDULLAH HUSSAIN

OLEH : NORHAMUNI IBRAHIM

Sumbangan para sasterawan dan penulis cukup besar dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. Oleh itu, menyedari peri pentingnya sumbangan mereka  terhadap sejarah perkembangan sastera tanah air, pengurusan DBP telah bersetuju untuk melaksanakan Program Ziarah Pengurusan ke kediaman sasterawan dan penulis sebagai menghargai sumbangan mereka.

Pada 10 November 2010 yang lalu, pihak pengurusan DBP yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Md, Salleh bin Yaapar, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, diiringi oleh Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah DBP, Encik Kamarul Zaman bin Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah DBP, Puan Hajah Zalila binti Sharif, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP dan Encik Abdul Ghapar bin Haji Abdullah, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat telah melakukan ziarah ke kediaman Sasterawan Negara Ke-8 Dato’ Haji Abdullah Hussain di Petaling Jaya, Selangor untuk merisik khabar.

YBhg. Dato’ Haji Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920, di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Beliau merupakan seorang penulis yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Beliau juga mahir dalam beberapa bahasa yang secara tidak langsung membantu beliau dalam dunia penulisannya.

Merisik khabar oleh En Abd. Ghapar dan diperhatikan (dari kiri) Dato' Termuzi, Pn Zalila, Pn Hamuni, Dato' Salleh dan En Kamarul.

Pengetahuannya dalam bidang bahasa dapat diukur daripada buku-buku bahasa dan peribahasa, serta terjemahan karya-karya sastera luar negeri yang telah diusahakannya.  Di samping itu, Abdullah juga seorang penulis biografi yang teliti, juga pernah menghasilkan puisi, ulasan sastera dan rencana umum.  Namun, sumbangannya yang cukup bererti dalam kesusasteraan Melayu adalah dalam bidang cerpen dan novel. Antara karya-karya yang dihasilkan oleh Abdullah Hussain ialah Dia…Kekasihku (1941), Berenang di Lautan Madu (1957), Terjebak (1964), Interlok (1971), Imam (1995), Dari Kota Cahaya (1997), P. Ramlee Seniman Agung (1973), Pendeta Za’ba dalam Kenangan (bersama Khalid Hussain), Harun Aminurrashid: Pembentuk Semangat Kebangsaan (1982) dan banyak lagi hasil ciptaannya.

Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sastera Negara yang kelapan dalam tahun 1996. Sebelum itu iaitu dalam tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima S. E.A Write Awards di Bangkok. Bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi, Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato’” dalam tahun 1995.

Dari kiri En Abd. Ghapar, Pn Zalila, En Kamarul, Dato’ Salleh, Dato’ Termuzi dan isteri SN, Seroja; di tengah SN Dato’ Abdullah Hussain

 Kini, dalam usia 91 tahun, Abdullah Hussain sudah tidak mampu untuk berkarya lagi kerana masalah kesihatan. Namun, untuk mengisi masa yang terluang, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku ilmiah dan juga beramal ibadah.

About admin