MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU DBP 2011

Oleh : Abdul Razak Mohammad

Bahagian Komunikasi Korporat menganjurkan Majlis Amanat Tahun Baharu DBP 2011 yang telah berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir pada 18 Januari 2011. Majlis yang diadakan pada awal tahun pada setiap tahun bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara staf DBP dengan pihak pengurusan DBP selain mendengar amanat hala tuju DBP untuk tahun 2011 yang disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP YBhg. Dato’ Termuzi bin Haji Abdul Aziz.

Amanat disampaikan oleh YBhg. Dato' Termuzi bin Haji Abdul Aziz

Majlis yang bermula pukul 9.00 pagi itu antara lain mengupas peranan dan tanggungjawab DBP, selain mengumumkan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2010. Ketua Pengarah DBP dalam ucapannya menyeru agar seluruh warga DBP agar berfikir di luar kotak dan melupakan cerita tentang kehebatan pada masa lalu agar warga DBP membezakan keadaan DBP pada tahun 60-an, 70-an, 80-an, 90-an. Segala tindakan dan program yang perlu dilaksanakan mestilah ditransformasi dengan mencari kaedah kerja baru yang lebih efektif.

Selain itu usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, DBP perlu menyediakan dan meningkatkan korpus bahasa Melayu serta korpus ilmu pengetahuan dan menyebarkannya secepat yang mungkin dan semudah yang mungkin kepada masyakat pengguna yang bakal memanfaatkan sumber ini untuk berkarya.  Lantaran itu, DBP harus menyediakan sumber rujukan leksikal, hasil daripada kegiatan peristilahan dan perkamusan.

Di samping itu DBP perlu menyediakan sumber rujukan ilmu, hasil daripada penyusunan ensiklopedia dan kegiatan penerbitan DBP. DBP juga perlu tingkatkan keupayaan capaian pengguna terhadap semua pangkalan maklumat dan ilmu pengetahuan DBP. Ini bererti capaian haruslah cepat dan mesra pelanggan dengan menggunakan semua kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi yang sedia ada. Maklumat kita harus sentiasa berada di hujung jari setiap pengguna.

Beliau juga berpesan kepada seluruh warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka agar  berusaha meningkatkan ilmu, perlu rajin membaca dan mahir dalam pelbagai kompetensi “multi tasking dan multi skilling”. Peka dengan perubahan dan cabaran-cabaran baru yang ada di sekeliling kita bercampur, berkenalan, dan bergaullah  dengan ramai orang di sekeliling kita.

Beliau juga menyeru, demi kebaikan, warga DBP perlu bersedia untuk berubah, berubah cara bekerja, berubah cara berfikir dan berubah minda kita. Berpeganglah kepada pendekatan bekerja, cara dan pendekatan kita bekerja sentiasa berubah demi untuk menghasilkan kerja yang terbaik.

Lafaz Ikrar diketuai oleh Encik Muhamad Rafiq bin Abdul Rahman dan staf lantikan baharu Januari 2011

Majlis turut memperkenalkan lima orang staf baharu Penolong Pegawai Perancang Bahasa S27 bagi lantikan Januari 2011 kepada seluruh warga DBP yang hadir dengan dalam Majlis tersebut. Staf baharu tersebut ialah Puan Fathenwan binti Wan Mohd Nor Bahagian Dasar dan Penyelidikan Sastera, Puan Norhamiza binti Mohd Tuharni Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja, Encik Abdul Halim bin Abdul Latip Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Ashreeq bin Basir Bahagian Penguatkuasaan dan Encik Mohd Fairus bin Sabli Bahagian Peristilahan dan Leksikologi. Di akhir majlis, lafaz ikrar perkhidmatan oleh seluruh warga DBP di ketuai oleh Encik Muhamad Rafiq bin Abdul Rahman daripada Bahagian Majalah.

About admin