TV DBP: SALURAN INFORMASI TERKINI

Oleh: Adnan bin Abd. Jamil

TV DBP Malaysia yang diselenggarakan oleh Staf Bahagian Multimedia telah memulakan siaran sejak 1 Julai 2010. Operasi dimulakan sebaik sahaja pihak Pengurusan DBP menyediakan pelayan sewaan dan pelayan yang bertindak sebagai subdomain video dbpmalaysia.tv.

Skrin Laman Web TV DBP

Objektif penerbitan TV DBP adalah untuk:

  1. Menyebarkan maklumat berkaitan aktiviti bahasa, sastera dan budaya yang berbentuk video kepada pengguna dengan lebih cepat.
  2. Mempercepat proses muat turun bahan dan capaian bahan video menerusi internet.
  3. Meningkatkan jumlah khalayak pengguna melanggan atau mendapatkan maklumat berkaitan produk DBP dalam media elektronik menerusi TV DBP.

TV DBP memberikan akses percuma kepada pengguna menerusi empat saluran yang disediakan.  Saluran 1 – berita dan kegiatan DBP;  Saluran 2 –  kegiatan bahasa dan sastera;  Saluran 3 – kegiatan remaja;  dan Saluran 4 – saluran radio/audio.

Setakat ini,  kru TV DBP telah menjelajah ke beberapa buah negeri untuk mendapatkan bahan video bagi siaran TV DBP.  Bahan siaran akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kegiatan yang diperoleh dari pelbagai sumber.  Antara tugas kru penerbitan TV adalah penyediaan papan cerita, penulisan, penyemakan dan penyuntingan skrip, penggambaran, penyuntingan video, rakaman suara latar serta memasukkan suara latar dan kesan khas untuk menjadikan bahan penerbitan TV lebih menarik.

Kru TV DBP semasa menunggu bot untuk penggambaran “Dokumentari Taman Negara Pulau Kukup, Johor”.

Video yang telah disiarkan termasuklah perhimpunan bulanan DBP, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Anugerah Industri Buku Negara, Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur, Seminar Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina, Hari Inovasi DBP, Wacana Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara, Seminar Pemikiran Arenawati, Pelancaran dan aktiviti Bulan Bahasa Kebangsaan 2010, Sehari Bersama Sasterawan, Dokumentari Kampung Lonek, Dokumentari Kota Tinggi, Teater DBP, Video animasi untuk kanak-kanak dan Amanat Tahun Baru daripada Ketua Pengarah DBP.

 

TV DBP dapat dicapai melalui pautan pada Laman Sesawang DBP (E-Penerbitan → Web TV) atau melalui alamat http://www.dbpmalaysia.tv

About admin