BENGKEL PENULISAN CERPEN, PUISI DAN PUISI ARTISTIK

Wadi Leta S.A. dan Abdul Hadi Yussof

Generasi penulis muda amat penting untuk menjadi pelapis bagi menggantikan generasi penulis mapan yang sedia ada.  Setiap bakat yang dimiliki perlu digilap dan diasah supaya melahirkan generasi penulis yang unggul.  Begitulah hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur di bawah kelolaan Unit Sastera yang telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Penulisan Puisi, Cerpen dan Puisi Artistik pada 23 – 24 April 2010 bertempat di Perdana Resort, Kota Bharu.  Bengkel ini telah mendapat kerjasama daripada  Persatuan Penulis Kelantan (PPK)

Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada penulis-penulis muda telah terpilih untuk menghadiri bengkel ini.  Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada penulis-penulis muda bagi menghasilkan karya kreatif yang berkualiti seperti puisi dan cerpen di samping mencungkil bakat-bakat baru.  Secara tidak langsung, bengkel sebegini juga dapat membantu mendekatkan diri antara penulis muda dengan penulis mapan untuk bertukar pendapat dan pandangan mengenai karya dan sastera Melayu. 

Antara fasilitator yang dijemput bagi menjayakan bengkel ini ialah Norhisham Mustafa, Wadi Leta S.A. dan Abdul Hadi Yussof.  Selain itu, Ketua Unit Penerbitan DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail juga turut memberikan panduan kepada peserta dalam menyediakan karya-karya yang berkualiti yang seterusnya dapat diterima oleh DBP untuk diterbitkan. 

Dengan adanya bengkel sedemikian, matlamat DBP Wilayah Timur untuk memartabatkan sastera tanah air pasti akan tercapai.  Bagi melengkapkan lagi matlamat tersebut, antara Januari-Jun 2010 ini, DBPWT juga mengambil langkah mengadakan pelbagai program seperti Majlis Dialog Editor Bersama-sama Penulis, Malam Apresiasi Puisi Sehati Satu Malaysia, Majlis Wacana Teater dari Naskhah ke Pentas, dan Majlis Diskusi Karya Sastera antara Wilayah.

About admin