K@Borneo Merintis Perkongsian Maklumat Melalui PORTAL

Oleh Jennitah Noordin

 Kota Kinabalu – Usaha bersama antara beberapa institusi di rantau ini untuk menggabungkan dan memantapkan perkongsian maklumat melalui portal telah termeterai dengan rasminya pada 6 April 2010.  K@Borneo merupakan portal yang diusahakan secara bersama oleh institusi dari Brunei Darussalam, Kalimantan-Indonesia, Sabah dan Sarawak yang mewakili Malaysia dengan beberapa matlamat.

Majlis Perasmian K@Borneo

            Antara matlamat pembinaan portal ini adalah untuk memantapkan kerjasama antara kawasan dalam usaha membina dan berkongsi pelbagai maklumat Borneo dengan cara mengenal pasti, menyusun dan membuat pendigitan maklumat, menyediakan latihan, menganjurkan bengkel dan mesyuarat.  Selain itu dapat  berkongsi implikasi dan maklumat kewangan dan bekerjasama selaras dengan prinsip asas perkongsian sumber, saling melengkapi untuk membangunkan pangkalan data yang komprehensif di Borneo.

            Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dalam ucapannya menyatakan bahawa K@Borneo merupakan jendela kepada dunia untuk menerokai, mengetahui dan membuat penyelidikan tentang Kepulauan Borneo yang maklumatnya masih sukar diperoleh.  Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah juga berharap melalui portal ini ketiga-tiga negara yang terlibat yakni Brunei Darussalam, Kalimantan-Indonesia, Sabah dan Sarawak memastikan maklumat yang didokumentasikan tepat, dan boleh diperoleh untuk tujuan penyelidikan.  Kata Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah lagi, pembinaan portal ini sesuai dengan pewujudan pasaran wilayah antara sempadan dan pewujudan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur (BIMP-EAGA).

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah

             Lapan buah agensi yang mengusahakan portal ini ialah Perpustakaan Negeri Sarawak, Perpustakaan Negeri Sabah, Perpustakaan Yayasan Tun Jugah, Perpustakaan Universiti Malaysia Sarawak, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah, Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam, Perpustakaan Universiti Tanjungpura Kalimantan Barat, Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens dan Yayasan Sabah.  Lima agensi lain yang turut terlibat ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Perhutanan Sabah, Muzium Negeri Sabah, Badan Perpustakaan Kearsipan dan Dokumentasi, dan Majlis Adat Istiadat  (MAI).

             Turut hadir dalam Majlis Pelancaran K@Borneo yang diadakan di Auditorium Tun Raffae, Menara Tun Mustapha ini ialah Yang Berhormat Datuk Seri Dr.  Maximus Johnity Ongkili, J.P.; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, dan Yang Berbahagia Tan Sri Datu Khalil bin Datu Haji Jamalul, J.P.; Pengarah, Yayasan Sabah. Persidangan Antarabangsa Borneo dan pameran turut diadakan sempena Majlis Pelancaran Portal K@Borneo.

About admin