KESEPAKATAN DBP CAWANGAN SABAH MENERBITKAN KAMUS KIMARAGANG-MELAYU

Oleh Abdul Nassir Said

Encik Zubaidi (kanan), Puan Oneh, Encik Nassir, dan Tuan Haji Jonathan bersama-sama melihat 15 buah daftar kata dalam 15 subbah

Pertemuan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS), Encik Zubaidi Abas dengan Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia, Tuan Haji Jonathan Kandok pada 16 Mac 2010 telah mewujudkan kesepakatan awal penyusunan dan penerbitan sebuah Kamus Bahasa Kimaragang – Bahasa Melayu.

            Pertemuan di DBPCS itu turut dihadiri penyelidik bahasa Kimaragang, Puan Oneh @ Latifah Osman dan Pegawai Projek Penyelidikan Bahasa Sukuan Sabah, Encik Abdul Nassir Said. Pertemuan tersebut merupakan lanjutan daripada kesepakatan yang tercapai antara DBPCS dan Persatuan Bangsa Sungai Sabah yang akan menerbitkan Kamus Bahasa Sungai – Bahasa Melayu. Demikianlah bentuk kerjasama yang termateri antara DBPCS dan persatuan bahasa sukuan Sabah. DBP menyediakan ruang kepakaran dan pengalaman sementara persatuan bahasa sukuan di Sabah menyediakan pakar bahasa sukuan masing-masing.

Menurut Encik Zubaidi Abas, pengumpulan kosa kasa yang dilaksanakan oleh DBPCS sejak sekian lama sudah tiba masanya dikembangkan membentuk kamus dwibahasa. Penerbitan 15 buah daftar kata dalam 15 subbahasa merupakan kejayaan terbesar DBPCS sejak pengumpulan kosa kata diadakan. Daftar kata tersebut yang berdasarkan tema tertentu menjadi asas kepada pengembangan entri kamus.

Tuan Haji Jonathan pula mengalu-alukan usaha DBPCS mengikutsertakan persatuan bahasa sukuan di Sabah dalam kegiatan melestarikan bahasa sukuan yang semakin dipinggirkan penggunaannya dalam kalangan penutur asli. Katanya lagi, persatuan akan berusaha mengumpulkan dana untuk membantu DBPCS merealisasikan penghasilan Kamus Kimaragang – Melayu.

About admin