PELBAGAI PENDEKATAN MEMASYARAKATKAN BAHASA KEBANGSAAN

Oleh Zubaidi Abas

 Usaha mengajak masyarakat supaya menggunakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai ranah kehidupan memerlukan pelbagai pendekatan bergantung kepada golongan sasaran.

             Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata ia perlu memandangkan terdapat pelbagai cabaran dihadapi dalam memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Perbincangan untuk memasyarakatkan bahasa kebangsaan

“Kita dapat melihat bahawa cabaran utama dalam pemasyarakatan bahasa kebangsaan ialah sikap anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar budaya, agama, bahasa, dan usia. Untuk mengajak golongan muda supaya mencintai dan menggunakan bahasa kebangsaan, kita harus menggunakan pendekatan yang dapat menarik golongan muda.  Pendekatan yang berbeza juga perlu untuk menarik kaum-kaum lain,” katanya pada pertemuan dengan Pengarah DBPCS Encik Zubaidi Abas, di pejabat Pusat Perkhidmatan Perhubungan Parlimen Kota Belud, pada 11 Mac 2010. Pertemuan itu diadakan dalam rangka Ziarah Bahasa DBP bersama-sama Pemimpin.

 Dalam pertemuan itu Encik Zubaidi menyatakan bahawa tahap kesedaran bahasa sebilangan besar anggota masyarakat masih jauh dari yang diharapkan walaupun telah banyak usaha dilakukan untuk memasyarakatkan bahasa kebangsaan. Keadaan ini menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dijalankan untuk menanamkan dan mengembangkan sikap bahasa yang positif terhadap bahasa Melayu selama ini belum berhasil sepenuhnya. Usaha-usaha yang dijalankan itu tidak selalunya ditanggapi oleh masyarakat dengan penuh kefahaman.

 Ziarah Bahasa merupakan salah satu program DBP Cawangan Sabah yang diadakan dari semasa ke semasa untuk menjalinkan dan memantapkan hubungan dan kerjasama DBP dengan pelbagai pihak, terutama golongan pemimpin yang berperanan dalam menentukan hala tuju perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan. Bantuan dan sokongan pelbagai pihak, termasuk pemimpin dan golongan politik dapat menjamin keberhasilan pelbagai usaha yang dijalankan untuk membina sikap bahasa masyarakat supaya berasa ikut bertanggungjawab untuk memelihara, mengembangkan, dan memajukan bahasa kebangsaan.

Encik Zubaidi menyampaikan cenderamata kepada Datuk Rahman Dahlan

Pertemuan itu turut disertai pegawai Perhubungan Parlimen Kota Belud, Encik Idris Nanti, Pegawai Projek Peningkatan Citra Kebangsaan DBPCS, Encik Muziat Yusuf.

About admin