PURI MINDA DI ANJUNG BAHASA

Oleh Jennitah Noordin

 WARGA Institut Perguruan Malaysia (IPGM), Kampus Gaya bertuah kerana berpeluang mendengar wacana dan pemikiran daripada salah seorang tokoh pejuang kebudayaan, kesusasteraan dan kebahasaan yang tersohor di Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ A. Aziz Deraman.  Yang Berbahagia Dato’ A. Aziz Deraman yang merupakan mantan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia merupakan tokoh yang diundang untuk memantapkan kesedaran masyarakat khususnya di Sabah akan peri pentingnya memahami perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan sama pentingnya dengan usaha memajukan negara dalam pelbagai aspek.

Dato' A. Aziz Deraman menyampaikan ceramah

Melalui mauduk bicara “Dasar Bahasa dan Peneguhan Sikap Bahasa,” Yang Berbahagia Dato’ telah menyatakan bahawa pembinaan dan pengembangan ilmu untuk pembangunan peradaban hendaklah dilakukan melalui bahasa negara sendiri.  Menurut beliau lagi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara ialah milik bangsa Malaysia bukan lagi milik  orang Melayu sahaja.  Oleh sebab kebersamaan ini, pengaruh bahasa kebangsaan telah merentasi sukuan, masyarakat dan negara.

            Kata beliau lagi strategi-strategi yang baharu perlu dirangka untuk memastikan bahawa usaha mengembangkan bahasa kebangsaan dapat dilakukan secara berkesan.  Antaranya melalui peningkatan dan peluasan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan, perkhidmatan kewangan dalam negeri, bahasa ilmu, sains dan teknologi, komunikasi canggih dan dalam pelbagai industri serta teknologi maklumat.

Hadirin mendengar ceramah

            Seramai 154 orang pelajar Institusi Perguruan Malaysia Kampus Gaya daripada pelbagai opsyen telah menghadiri kegiatan ini yang diadakan pada 2 Mac 2010, pukul 9.00 pagi – 11.00 pagi, di Dewan Utama, IPGM Kampus Gaya. Turut hadir ialah Pengarah, IPGM Kampus Gaya, Puan Salmah Abdullah.  Kegiatan ini telah memberikan peluang kepada para bakal pendidik mengemukakan pendapat dan pelbagai persoalan tentang hal-hal permatabatan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan.

About admin